<bgsound src="http://www.hddweb.com//Aishah_-_Tari_Silat_Melayu.wma" loop=infinite>

Rintihan Seorang Anak Gadis..

dari mata turun ke hati, dari hati minda mencerna, dari sana, turun ditinta. Abadikan ia di alam maya, titipan hidup, jiwa sahaya.

My Photo
Name:
Location: Singapore

Sunday, August 06, 2006

Lakaran citra remaja Melayu Perempuan


Remaja ada cerita indah

Sering yunda ungkap apabila sepupuku meluahkan rasa gelisah mengenai anaknya yang akan masuk ke alam remaja. Maklumlah, dia pernah mangalami alam remaja tidak lama dahulu dan tahu mengenai gejala sosial yang kian melanda masyarakat Melayu di sini.

Yunda ingin mengulas mengenai fokus ruangan spektra di Berita Minggu pada hari ini. Seorang ramaja yang telah menggunakan nama samaran, telah mendedahkan pekung cerita hidupnya. Yang sedihnya, bukan sahaja datangnya dari keluarga yang bukan porak peranda, tetapi dia juga merupakan seorang penuntut universiti.

Orang sepertinya yang sering disebut sebagai pelapis elit masyarakat. Tetapi sekarang kita tahulah, orang sepertinya juga ada yang bangga terjebak dalam kancah maksiat.

Yunda berhemat bahawa laporan itu sebenarnya boleh menyampaikan mesej yang salah, kerana kesimpulanya, si 'Hana' (nama samaran yang menjadi penyelindung) tidak menyatakan sebarang rasa bersalah, kesal, mahupun insaf. Yang lenbih mengeruhkan keadaan ialah dia seakan-akan bangga kerana perlakuannya yang sumbang terlepas dari pengetahuan ibu bapanya. Dia lebih rela mendedahkan kisahnya dengan bangga, tanpa segan silu, pada akhbar setempat, asalkan ibu bapanya tidak tahu menahu mengani duduk perkara sebenar.

Angkara oitu, sekarang, bukan sahaja ibu bapanya yang risau, malah, laporan itu telah menyemai gelisah pada ibu bapa lain, abang, adik, kakak, jiran, para pendidik, suami, tunang, teman lelaki, nenek, makcik, pakcik, sepupu....

Kerana remaja-remaja ini, yang menceritakan kisah mereka tanpa sebarang mesej didaktik, malah, bangga kerana mereka berjaya menyembunyikan identiti sebenar dari ibu bapa, kerana mereka telah lolos dalam menipu ibu bapa mereka, kerana mereka terlepas dari bertentangan mata dengan kekecewaan pada wajah dan nada suara orang-orang yang menyayangi dan disayangi mereka. Kerana remaja-remaja ini, kemungkinan adalah anak orang, kakak, adik, temanita orang, sepupu, anak saudara, makcik orang. Anak didik, jiran, sahabat orang, dan bakal isteri orang.

Macam mana boleh hindarkan dari risau?
Bagaimana mahu mengusir gelisah dari bertapak di hati?
Tidak menyesalkah kita jika memendam sangsi yang bertunas dalam diri?

Sesungguhnya perbuatan 'Hana' dan remaja-remaja lain yang sekutu dengannya adalah tidak bertanggungjawab.

Implikasinya bukan sahaja pada diri sendiri, wahai rakan. Ibu bapa kepada remaja yang tidak bersalah tidak lepas dari dicengkam rasa sangsi, takut, gelisah. Anak-anak yang masih kecil tidak lepas dari mengetahui di selok-belok menjadi tupai. Lompat tinggi-tinggi dan pandai-pandailah agar tidak jatuh ke bumi.

Juga, banyak tenaga, kemahiran, wang, masa, dan kerjasama pelbagai pihak telah disumbangkan dan disalurkan untuk memulihkan keadaan songsang masyarakat kita, terutama sekali golongan remaja. Tetapi semuanya tampak sia-sia. Remaja lebih gemar agaknya bergelumang dalam kesilapan sendiri. Mengulangi kesilapan sendiri. Menjunjung kesilapan sendiri. Meruntuhkan nama baik sendiri. Nama baik keluarga. Sekolah, bangsa, agama, kaum wanita.

Yunda rasa, bantuan sebgini diadakan dan senantiasa dipertingkatkan agar dapat menjana masyarakat yang cemerlang, yang bebas dari dibelenggu masalah-masalah seperti penyalahgunaan dadah, keluarga yang porak-peranda, hidup merempat tanpa arah, seks rambang dan sebagainya. Mereka hulurkan bantuan kerna amasih sayang, masih yakin bahawa remaja-remaja hanyut ini dapat bangkit dari takuk lama dan keluar dair lingkaran musibah, untuk mengukir nama untuk diri sendiri. Mereka percaya remaja yang sonsang mampu bangkut dan mendapatkan semula rasa hormat dari orang, rasa hormat terhadap diri sendiri.

Orang lain sayang pada mereka. Tapi apa mereka sayang pada diri sendiri?

Yunda turut kecewa kerana yunda kenal dengan belia-belia yang seringkali disyakwasangka oleh mereka yang tersayang, dan seirngkali cuba membuktikan bahawa remaja perempuan Melayu masih ada harga diri, masih kenal baik buruk, masih tahu erti tanggungjawab, masih sedar akan impian dan harapan orang lain terhadap diri mereka.

Yunda sendiri sukar mendapatkan kepercayaan ayah bonda kerana mereka takut yunda tersesat jalan. Kerana berita remaja songsang ini terlalu berleluasa. perihal remaja songsang terlalu bermaharajalela.

Yunda rasa dikhianati remaja perempuan yang sama bangsa, sama agama. Usahlah kita menodai kepercayaan dan keyakinan orang pada kita. Usahlah kita memusnahkan harapan yang ditaruh orang pada kita. Usah kita merosakkan diri sendiri.

Ingatlah wahai teman. sagala apa yang kau lakukan itu, angkaranya bukan sahaja pada diri sendiri. Ia menjejas orang lain.

Dan di akhir lembaran ini, yunda masih mendakap kuat pada sisa-sisa kepercayaan bahawa remaja perempuan melayu masih ada maruah dan harga diri.

Wahai kawan,
Remaja ada cerita indah.
Apa cerita anda?

Yang terkilan,
Ayunda.


0 Dari kacamata orang:

Post a Comment

<< Home