Yay!Akhirnya komputer peribadi yunda pulih berfungsi seperti biasa! Sudah sebulan yunda tidak dapat menyertai ruangan sembang siber kerana ada masalah teknikal yang rumit untuk diselesaikan. Namun, berbekalkan rasa rindu kepada ruangan sembang siber MSN, yunda berusaha bersama adik yunda untuk memperbaikinya. =)

yunda bersama komputer tersayang...
Mula-mulanya, usaha kami ibaratkan tikus membaiki labu. Makin tenat jadinya komputer ini! Haha. Tetapi, dengan tunjuk ajar sang Ayah, akhirnya, masalah itu diselesaikan, dan hari ini, dapatlah yunda mengubat rindu. Haha.
Pengalaman ini telah menyedarkan yunda betapa banyak yunda bergantung kepada teknologi internet dan juga betapa ketagihnya yunda kepada ruangan sembang siber. Sememangnya, sebelum ini, yunda tidak lepas dari memasuki ruangan tersebut hampir setiap hari, kecuali jika benar-benar tidak diizinkan masa.
Ruangan sembang siber bukan sahaja merupakan wahana untuk mempereratkan dan silaturrahim antara para kenalan, namun ia juga merupakan wadah komunikasi yang penting bagi yunda. Bayangkan betapa canggung rasanya apabila yunda tidak dapat memasuki ruang sembang di internet.
Aduhai, punyalah seksa.....
Haha. Rasa bagai ada sahaja yang tak kena. Padahal, yunda hanya mula menggunakan ruangan sembang siber dengan begitu rancak selepas peperiksaan peringkat biasa, iaitu hampir dua tahun lalu.
Akan tetapi, yunda tidak dapat menafikan bahawa dengan pengalaman yunda sebulan lalu, tanpa dapat menikmati fungsi ruangan sembang siber, yunda mempunyai lebih masa lapang yang diluangkan bersama keluarga. Sedikit sebanyak, pengalaman ini telah membuka mata yunda dan memberi kesedaran bahawa kadangkala teknologi ini terlalu seronok dan terlalu berkesan penggunaannya sehingga kita terlalu mengharapkannya dalam melaksanakan tugasan seharian sehingga ia menjejaskan masa yang kita luangkan untuk keluarga.
Cuba bayangkan, sedangkan jika adik yunda sedang menggunakan komputer sebelah, yunda lebih senang berbual dengannya melalui internet. Bibir hanya terkatup membisu seribu bahasa, sedangkan jari-jemari lincah meluahkan isi hati. Sungguhpun sang adik hanya di sebelah sahaja.
"berhantu agaknya MSN chat itu," seloroh bonda apabila melihat gelagat anak-anaknya.
Bahkan, adik yunda yang berusia 6 tahun itu, lebih senang menghubungi yunda melalui ruangan sembang siber ketika yunda berada di sekolah, dari menghubungi yunda melalui telefon! (Tak, adik yunda itu tidak mempunyai akaun di ruangan sembang siber, tetapi dia menggunakan akaun ibu yunda.)
Apabila direnungkan, amat menghairankan bagaimana ruangan sembang siber dapat menggantikan komunikasi secara bersua muka atau melalui pertuturan dengan sewenang-wenangnya.
Apa kebolehan manusia untuk berbicara, untuk meluahkan isi hati melalui pertuturan dapat digantikan dengan dengan sebuah mesin sebagai benda pengantaraan? Hmmm....
Aik, sudah berkelip-kelip pula ikon di skrin komputer yunda.. Ya tak ya, yunda sedang bersembang dengan seorang ibu saudara melaului MSN... hehe..
Sampai di sini sahaja, wahai pengguna internet!
Salam Sayang dari
yang kini lebih suka berbual dengan bersua muka,
Ayunda.