Tak kenal maka tak cinta
Teringat pula yunda pada suatu perbualan telefon di antara seorang saudara. Dalam perbualan kami, saudara yunda, Az, telah dengan tegas, memberitahu bahawa dia benci dengan kumpulan Radja.
Hmm.. bukankah kebencian itu suatu perkataan yang kuat konotasinya? Apabila ditanya mengapa, Az menjawab bahawa dia benci dengan lagu Melayu.
“Pernah Az dengar lagu dari Radja?”
“No.”
Tersenyum yunda di hujung talian. “Jadi macam mana Az boleh benci pula dengan kumpulan itu?”
“It’s not cool lah, kak, lagu Melayu ni semua. Jiwang-jiwang, cinta-cinta aje..” jawabnya selamba.
Hmm…
Pertama sekali, muzik Melayu, seperti Muzik Inggeris, mempunyai aliran yang berbeza. Ada muzik jenis jiwang, ada yang puitis, ada pula balada, nasyid, yang berentak hip-hop, r’n’b…
Kenapa harus disempitkan aliran Muzik Melayu ke jenis jiwang sahaja, dik?
Tidak dapat dinafikan bahawa lagu-lagu seperti “Isabella” dan “Rindu serindu-rindunya” merupakan lagu-lagu yang agak terkenal dalam industri muzik Melayu. Dan sememngnya lagu-lagu tersebut bersifat jiwang dan cinta-cinta.
Akan tetapi seyogia sedia dimaklum bahawa muzik Melayu juga mempunyai tema yang berbeza. Misalnya, lagu “Bahtera Merdeka” mengupas isu semangat kenegaraan. Lagu seperti “Narapidana” mengupas isu banduan Melayu. “Airmata ibu” jelas menggambarkan pengorbanan seorang bonda. "Majulah Singapura" pula bertujuan memupuk semangat kekitaan di kalangan rakyat Singapura.
Lagu tema Bulan Bahasa sendiri merupakan suatu mesej yang merangsang cinta pada bahasa warisan.
Sememangnya lagu merupakan suatu wadah untuk menyampaikan mesej. Konsep ini jelas ada pada industri muzik sejagat. Ia juga wujud dalam seni dikir barat, dan konseyang sama digunakan dalam pengiklanan. Muzik hanya merupakan mesej yang dialunkan dengan irama. Lihat sahaja pada lagu tema Bulan Bahasa.
Di sini, ingin yunda jelaskan bahawa Az jarang sekali mendengar stesen radio Melayu, apatah lagi lagu-lagu Melayu. Mungkin dia pernah dahulu mendengar lagu-lagu Melayu, dan kebetulannya lagu-lagu ini semuanya bersifat jiwang dan bertemakan soal hati. Mungkin hal sebegitu yang mendorong Az untuk membentuk sudut pandangan sebegitu.
Atau mungkin Az dipengaruhi pendapat rakan sebaya, atau dihasut stigma yang tidak berasas bahawa muzik Melayu ‘tak cool’.
Muzik barat menjadi ‘cool’ dan popular kerna anak bangsa dan anak watan mereka mengagung-agungkan induistri muzik sendiri. Seandainya anak bansga kita tidak rela berbuat demikian, dan lebih menjulung muzik dari barat, siapa pula yang akan membela industri muzik Melayu?
Ada yang tidak mahu mendengar muzik Melayu kerana ianya dicap tak ‘cool’. Apa salahnya jika mereka menjulung muzik Melayu, agar ia menjadi ‘cool’? Lantas khalayak pendengar akan lebih meluas kerna ia telah dijadikan sebagai sesuatu yang ‘cool’.
Yunda hanya ingin mengatakan bahawa kit harus bersikap terbuka dalam menilai sesuatu perkara. Dalam hal ini, janganlah kita menilai muzik Melayu tanpa menganalinya atau cuba mendengarnya dahulu.
Semoga industri muzik Melayu di nusantara ini akan berkembang mekar.
Salam sayang,
Ayunda.