<bgsound src="http://www.hddweb.com//Aishah_-_Tari_Silat_Melayu.wma" loop=infinite>

Rintihan Seorang Anak Gadis..

dari mata turun ke hati, dari hati minda mencerna, dari sana, turun ditinta. Abadikan ia di alam maya, titipan hidup, jiwa sahaya.

My Photo
Name:
Location: Singapore

Monday, July 10, 2006

Kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya..


"Kakak, tolong on-kan the kipas, please?"


Yunda melihat pada adik yunda itu buat seketika. Selamba sahaja riak wajahnya.




"Kakak, on the kipas. Panaslah. You don't feel panas ke?"


Yunda masih merenungnya, tajam. Dia sedar ada yang tidak kena dengan apa yang telah dikatakan. Maklumlah, ini bukan kali pertama dia ditegur kerana terlalu mencampuradukkan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam perbualannya. Puas ayah dan bonda menegurnya dan cuba membetulkannya.


"Yaya, pergilah bukak the kipas yourself. Kakak tengah busy cheong homework dia tu," sampuk si abang.


Sambil tangan ini pantas menekan butang pada kipas, yunda sibuk berleterkan kedua-dua adik yunda. Bukannya apa, semakin menjadi pula mereka mencampuradukkan penggunaan Bahasa Melayu dan Inggeris dalam pertuturan seharian. Akhirnya, apa yang diperbualkan itu bukan dalam Bahasa Inggeris, dan Bahasa Melayu pun bukan. Malah, perkataan dialek pun ada terselit.

Bukannya keluarga yunda tidak menggalakkan kecekapan bertutur dalam dua bahasa, tetapi penggunaan bahasa seharian yang semacam 'rojak' itu menyebabkan adik-adik yunda tidak fasih dalam kedua-dua bahasa. Bahasa Inggeris tidak dapat dikuasai, dan begitu juga dengan Bahasa ibunda sendiri. Kata orang, 'Neither here, nor there'.

Teringat pula yunda pada kata-kata bonda, "Gunakan Bahasa sendiri sudah terkapai-kapai, inikan lagi bahasa lain.."

Kalau fenomena ini dibiarkan bermaharajalela, di mana letaknya penguasaan bahasa seseorang itu? Pada bahasa warisan sendiri? atau pada lingua franca dunia? Atau hilang di antara penggunaan beberapa bahasa. 'Lost in translation', menurut seorang teman.

Yunda percaya, pencemaran bahasa seperti ini dapat dan harus dicegah dan dibasmi dari rumah lagi. Anak kecil sekalipun, harus dilatih agar tidak biasa mencampuradukkan kedua-dua bahasa dalam pertuturan.

Walaupun dalam konteks tempatan, pertuturan sebegini, mudah difaham dan seringkali digunakan (kerana apabila ia dituturkan, bahasa 'rojak' merupakan sebuah 'colloquialism', atau ragam basahan).

Namun, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tetap tergugat dengan ugutan pencemaran apabila ragam basahan ini dibawa-bawa ke dalam penggunaan rasmi atau digunakan dalam peperiksan atau kerja sekolah.

Memang tidak dinafikan bahawa ragam basahan sebenarnya mewarnakan lagi jati diri masyarakat tempatan, namun, biarlah sekurang-kurangnya kita berjaga-jaga dan bersikap prihatin agar tidak 'merojakkan' mana-mana bahasa. Biarlah hanya slanga dan linggo yang menjadi penghias bahasa basahan.

Akan tetapi, bukannya ia lebih baik lagi jika bahasa Melayu, atau mana-mana bahasa sekalipun, dapat dilestarikan penggunaannya tanpa dicincang?

Hmm.. macam sejuk pula bilik ini.. baik yunda matikan suis kipas itu sebelum dua beradik itu mengadu kesejukan pula.

Oh ya, sebelum yunda terlupa, kipas bukan sesuatu yang kita tidak 'buka' (melainkan apabila sedang membersihkannya), tetapi kita menghidupkan suis kipas.

Minda pula merupakan contoh sesuatu yang boleh dan harus dibuka. =P

(Nota: Peribahasa 'kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya' bermaksud, kalau hendak melatih atau mengajar seseorang itu, biarlah diajar atau dilatih dari kecil, kerana sewaktu kecil, mereka lebih mudah dilentur.)


Salam sayang,
Ayunda.

0 Dari kacamata orang:

Post a Comment

<< Home