<bgsound src="http://www.hddweb.com//Aishah_-_Tari_Silat_Melayu.wma" loop=infinite>

Rintihan Seorang Anak Gadis..

dari mata turun ke hati, dari hati minda mencerna, dari sana, turun ditinta. Abadikan ia di alam maya, titipan hidup, jiwa sahaya.

My Photo
Name:
Location: Singapore

Wednesday, July 05, 2006

Aku Melayu.

Yunda sedang melungsuri internet apabila terjumpa klip video ini. Selesai menontonnya, terasa terharu pula. terasa bagai ingin membuat klip video sendiri yang serupa demikian, bertajuk, 'i am singaporean' atau 'i am malay'. Sememangnya jati diri Singapura dan apa yang dimaksudkan sebagai identiti Singapura telah lama dan hangat diperdebatkan.

Dalam video itu, Joe, pelaku utamanya, mengupas apa yang menyumbang pada jati dirinya sebagai seorang warga Canada. Ketik di sini untuk menonton klip video tersebut. Ternyata ia mampu membangkitkan semangat kebangsaan dan kekitaan di antara warga Canada.

Hmm.. namun, apa sebenarnya yang menyumbang kepada jati diri kita sebagai seorang anak bangsa Melayu?

adakah ia makanan yang kita makan?

atau baju yang dikenakan?

atau adat resam yang kita turuti?

atau mungkin pantang larang yang kita terima?

mungkin juga bahasa yang sebati pada lidah?

Pada yunda, ianya terletak kepada pelbagai aspek budaya dan bahasa yang telah menerap kehidupan yunda sejak bayi lagi. Perhatikanlah. Budaya etnik tidak akan lepas kaitannya dengan kehidupan seharian kita.

Budaya Melayu telah menjadi sebahagian paksi kehidupan seorang anak Melayu sejak dalam kandungan lagi. Pantang-larang yang dituruti ibu kita, jamu-jamu, herba dan ubat-ubatan tradisional Melayu yang telah dimakan..

Sewaktu bayi, kita disambut dengan kenduri cukur jambul, upacara turun tanah, menamakan bayi dalam tujuh hari selepas kelahiran, dan sebagainya.

Kemudian zaman kanak-kanak kita pula dilanda gila congkak, batu serembat, tingting, capteh, guli, enjet-enjet semut, layang-layang... Kita juga dinasihatkan berdasarkan pantang larang, seperti jangan duduk di atas bantal (dikatakan nanti punggungnya bisul, padahal kerana tidak mahu bantal yang dibuat alas kepala, kotor). Kita juga dihibur cerita-cerita rakyat, cerita dongeng, cerita jenaka Melayu, seperti Pak Pandir, Mat Jenin, Lebai Malang. Kita dikenalkan dengan konsep duit raya dan hari raya; balik kampung, memakan lemang, ketupat, rendang, bermain mercun, bunga api....

Di alam remaja pula, kita mula diberi pendedahan atau melibatkan diri kepada seni Melayu, seperti tarian, dikir barat, gurindam, keroncong, syair, nazam dan madah, serta bangsawan. kita juga mula sedar akan kesenian ukiran Melayu, jahit-menjahit, persulaman, lukisan batik, anyaman dan sebagainya. Apabila tiba hari raya, kita semakin peka dengan jenis-jenis kuih, seperti makmur, kuih tat, cakar ayam, sarang semut. Kita juga mula peka mengenai adat-istiadat perkahwinan apabila menemani ibu ke jemputan kahwin dan upacara pertunangan atau akad nikah. Kita tahu perkara seperti adat merisik. Kita dededahkan kepada alat muzik kompang, hadrah, gamelan, dan juga seni silat.

Belum lagi menjejak ke alam dewasa, kehidupan kita sudah bnyak berteraskan budaya Melayu. Bukannya beberapa faktor secara sendiri yang telah membentuk jati diri kita sebagai anak Melayu, tetapi pengaruh budaya warisan ini ke dalam kehidupan seharian kita yang telah menggubah jati diri kita sebagai anak Melayu.

Bukannya bahasa yang dituturkan atau pakaian yang dipakai yang menjadi soal, tetapi ikatan hidup kita dengan budaya secara keseluruhan yang memberi makna.

Banyak lagi yang sebenarnya, pada yunda, telah menyumbang kepada jati diri yunda sebagai seorang Melayu.

What is it that makes you Malay? Is it the food you eat, the songs you sing and listen to, the clothes you wear, the people you mix with, the language you speak, or is it just whats written on your i/c? Can you pin-point to what exactly that shapes your identity as a Malay?

Begitulah sebuah soalan yang ditanya seorang sahabat karib.

Sukar untuk menunjuk apa yang sebenarnya membentuk jati diri kita sebagai seorang anak Melayu. Namun yang pasti, kehadiran budaya Melayu dalam setiap lembaran dari kehidupan kita, jelas menggubah jati diri Melayu yang mekar kembang berakar di jiwa ini.

Sememangnya, Melayu bukannya sesuatu yang sekadar perkataan yang tertera di I/C.
Melayu menjadi sebahagian dari kehidupan, dalam darah mengalir dari hati.


Salam hormat,
gadis Melayu.

P/S: Sudahkah anda menonton video 'I am Canadian' dari Youtube.com?

0 Dari kacamata orang:

Post a Comment

<< Home